SEDIKIT PERUBAHAN

Mulai hari ini pihak kami akan mengadakan sedikit perubahan kepada lamanweb/blog ILMU ASAS TANI ini.

Selama beberapa bulan ini kami telah membuat kajian mengenai senario masyarakat tani di desa,  dan program serta aktiviti pertanian yang dilaksanakan.  Kami dapati, memang ramai di kalangan masyarakat tani yang kurang tahu mengenai perkembangan dan kemajuan yang telah dicapai dalam bidang pertanian di negara ini.   Walaupun banyak projek-projek kajian dan penyelidikan yang telah dijalankan oleh beberapa agensi berasaskan pertanian,  dan juga universiti-universiti tempatan,  sedikit benar hasil kajian ini yang dimanfaatkan oleh para petani,  kerana tidak ramai yang mengetahui mengenainya.

Keadaan ini akan kami cuba ubah.  Kami akan cuba mendapatkan ajensi-ajensi yang berkaitan membantu kami dengan maklumat-maklumat relevan untuk dipaparkan di dalam lamanweb/blog ini.  Kami percaya,  kerjasama dan bantuan ini akan kami perolehi.

Ini bermakna banyaklah nanti teknologi baru yang akan diketahui oleh masyarakat petani.  Ini dipercayai akan pasti mengubah corak kehidupan mereka.  Dapatlah mereka menikmati kejayaan,  kesejahteraan dan kecemerlang hidup dengan ilmu pengetahuan baru ini.  Dan dapatlah mereka memberi sumbangan lebih positif kepada perjuangan kita untuk masa mendatang.

Selain dari itu,  kami akan juga memaparkan kisah petani-petani pilihan.  Kami akan bentangkan kisah-kisah kejayaan mereka.  Tetapi,  kami juga akan menceritakan masalah yang mereka hadapi dan bagaimana mereka dapat mengatasi masalah dan kesulitan ini.

Kami telah mengenalpasti beberapa orang petani,  khususnya di negeri Kelantan ini.  Kami telah berbincang dengan mereka.  Perbincangan-perbincangan yang kami lakukan ini,  telah menimbulkan satu ilham kepada kami,  iaitu untuk membentangkan cerita mereka kepada lain-lain anggota masyarakat tani.  Mungkin dengan cara ini,  yang lain dapat mempelajari langkah-langkah yang membawa mereka kepada kejayaan,  sambil mengetahui pula masalah-masalah yang telah dapat mereka atasi dalam perjalanan ini.

Kami telah dapat bertemu dengan  enam orang yang terdiri dari seorang petani (tanaman jagung),  penternak ikan dalam sangkar (ikan siakap),  penternak ikan keli, pengusaha tanaman cendawan,  peniaga satay dan peniaga serunding.  Kisah-kisah ini akan kami paparkan dalam lamanweb/blog ini.

Sekiranya saudara ingin berkongsi pengalaman,  terutamanya dalam bidang asas tani,  silalah berhubung dengan kami pada alamat emel:   epcteknologi@gmail.com.

ISLAM MENITIKBERATKAN KEGIATAN PERTANIAN

Manusia pada asasnya tidak dapat hidup tanpa bahan-bahan makanan dan minuman.   Bahan-bahan tersebut,  sememangnya telah dianugerahkan oleh Allah s.w.t.  di bumi ini.  Terserahlah kepada manusia untuk mengembangkan bahan-bahan tersebut supaya  dapat dijadikan makanan yang lebih lazat dan bermutu tinggi.

Oleh yang demikian,  kaum petani,  penternak  dan  nelayan  adalah golongan yang amat penting untuk memenuhi tanggungjawab Fardu Kifayah.  Ini sesuai dengan perubahan masa dan keperluan masyarakat di seluruh Negara.   Hasil-hasil pertanian bukan lagi dijadikan sebagai bahan sara diri tetapi ia hendaklah dijadikan sebagai suatu sumber pendapatan yang boleh meningkatkan taraf hidup sesuai dengan perkembangan masyarakat.

Kurangnya tenaga mahir dalam sektor pertanian adalah kerana ia belum menjadi sektor yang benar-benar lumayan dan mempunyai status yang tinggi.   Tetapi melalui Dasar Pertanian Negara,  para pengusaha di bidang pertanian mempunyai peluang yang lebih luas untuk meletakkan diri mereka sebagai pengusaha yang berpendapatan tinggi melalui pendekatan baru yang berasaskan pertanian komersil yang menggunakan teknologi tinggi.

Tuntutan menjadi kaya adalah tuntutan Islam kerana orang-orang yang memberi zakat ialah  orang yang berkemampuan dan cukup syarat.   Orang-orang seperti ini hanya mampu lahir dari kalangan ahli-ahli pertanian atau siswazah di bidang-bidang yang berkaitan dengan perushaan dan perniagaan.

Selagi sektor pertanian didokongi oleh mereka yang tidak mempunyai latarbelakang yang  kukuh dari  segi ilmu pertanian atau perniagaan maka selagi itulah sekkor ini akan dimonopoli oleh mereka yang tidak mempunyai tanggungjawab di segi Fardu Kifayah,  yakni orang-orang bukan Islam.

Kesedaran untuk memperhebatkan sector pertanian ini akan menjadi lebih meningkat dengan tertanamnya dengan yakin kesedaran dan kefahaman bahawa Allah s.w.t melarang umatnya daripada melakukan pembaziran terhadap sumber alam seperti tanah,  binatang,  pokok dan air sebagaimana yang tersebut di dalam ayat-ayat Al-Quran,  di mana Allah s.w.t.  memberi amaran untuk menarik balik nikmat berkenaan jika ia tidak digunakan sepenuhnya sebagaimana firmanNya yang bermaksud:

Katakanlah lagi:  “Bagaimana fikiran kamu,  sekiranya air kamu hilang lenyap  (ditelan bumi),  maka siapakah  (selain Allah) yang dapat mendatangkan kepada kamu air yang sentiasa terpancar mengalir?” Al-Mulk  (67); 30).

Di dalam Islam kemiskinan adalah musuh yang perlu dibenteras.  Ia selalunya berada pada mereka yang tidak mempunyai cita-cita,  lemah semangat dan tidak mempunyai keyakinan diri untuk mempertingkatkan taraf hidup mereka.    Salah satu bahaya yang sedang mengelilingi orang-orang miskin ialah mereka sedang dipengaruhi oleh berbagai anasir terutama oleh mereka yang ingin mencabut iman mereka.  Ini terbukti dengan peristiwa-peristiwa dunia sekarang di mana segelintir orang-orang Islam yang miskin telah sanggup ditukarkan agama mereka demi untuk mendapat sesuap makanan.

Dalam sebuah hadis,  Rasulullah s.a.w.  ada memperingatkan orang-orang Islam supaya jangan sampai terjerumus ke lembah fakir miskin kerana ia akan mudah ditarik menjadi kufur sebagaimana sabdanya yang bermaksud:

‘Hampir-hampir kefakiran itu membawa kepada kekufuran.’ Riwayat Abu Naim.

Para petani,  penternak dan nelayan melalui sektor pertanian yang terbentang luas ini boleh menjadikan sektor ini sebagai satu tapak untuk menjadi orang yang berjaya  -  tidak menjadi fakir atau miskin.   Ini bermakna mereka akan menjadi umat Islam yang tidak taat sekirangnya membiarkan mereka kekal dalam kemiskinan.  Adalah wajib bagi mereka membuang sikap rendah diri,  tidak ada keyakinan dan tidak mahu berikhtiar untuk menjadi orang yang kaya.

Para petani dan penternak dan nelayan yang berjaya adalah sebagai wakil umat Islam yang mencapai tahap khalifah di muka bumi ini.

Kecemerlangan  Islam dan umatnya di Negara ini sangat bergantung kepada  sokongan petani,  penternak  dan  nelayan.  Ini kerana sebahagian besar rakyat Negara tinggal di luar Bandar di mana ibu bapa mereka adalah dari golongan petani,  penternak  dan  nelayan.

Kejayaan generasi akan datang adalah bergantung kepada peningkatan ilmu pengetahuan dan pembangunan sahsiah mereka.   Untuk mencapai tahap tersebut,  ibu bapa mestilah mampu membiayai pendidikan anak-anak mereka.   Oleh sebab itu golongan petani,  penternak  dan  nelayan yang berada di seluruh pelusuk rantau Negara ini mestilah menguatkan azam untuk meningkat taraf pendidikan,  sahsiah atau akhlah mereka dan anak-anak mereka demi menjamin kecemerlangan umat Islam di masa akan datang.

Sumber: Penerbitan Kementerian Pertanian Malaysia bertajuk  ‘PERTANIAN DALAM AL-QURAN’,  muka surat  12 – 17.

FUNGSI LAMANWEB ‘ILMU ASAS TANI’

Bila kita berbincang mengenai alam pertanian,   akan terbayanglah kita kepada kesungguhan masyarakat desa menyelenggarakan aktiviti-aktiviti berkaitan dengannya.   Akan terlihatlah kita satu keluarga desa membanting tulang mengerjakan sawah mereka,  atau dengan tekun meneliti sayur-sayuran yang ditanam supaya mengeluarkan hasil yang sepatutnya,   atau bangun awal pagi lagi untuk menoreh getah di ladang,   atau menurunkan tandan buah kelapa sawit, dan berbagai lagi aktiviti yang berkaitan.

Kemudian terbayang pula kita kepada aktiviti yang dilaksanakan oleh mereka yang terlibat dalam bidang ternakan seperti kambing,  lembu,  biri-biri,  ayam,  burung untarusa dan sebagainya.

Kita berbincang lagi,  akan kita lihat pula masyarakat di kampong nelayan riuh rendah menunggu kepulangan bot-bot yang membawa ikan … iaitu hasil tangkapan si suami,  atok,  abang dan lain-lainnya.  Akan terbayang kepada kita,  bagaimana mereka awal pagi lagi sudah turun kelaut.

Dan begitulah seterusnya.    Yang disebutkan lagi hanya tiga bidang ….  tanaman,  ternakan  dan  perikanan.  Sedangkan banyak lagi dilaksanakan oleh masyarakat desa.

Hari ini,  banyak kemajuan telah dicapai dalam bidang-bidang ini.  Teknologi telah menyertai masyarakat desa.

Dan melalui lamanweb  ILMU ASAS TANI ini,   kita akan sediakan berbagai lagi maklumat yang terkini mengenai kemajuan bidang-bidang tersebut.   Lamaweb ini kita bahagikan kepada tiga laman iaitu  BIMBINGAN,  FALSAFAH dan  TEKNOLOGI.

Kami akan mendapatkan bahan-bahan yang lengkap dan kredibel dari agensi-agensi kerajaan untuk membantu …  iaitu seperti  Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani,   Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian, dan sebagainya.

Harapan kami ialah bahawa bahan-bahan yang akan dikandungkan di dalam laman-laman yang diwujudkan ini,  dapat menambahkan ilmu pengetahuan saudara yang berminat,  supaya penglibatan saudara dalam aktiviti pertanian ini,   akan mendatangkan manfaat kepada kita semua,   dan membantu kita menghadapi masa mendatang,  dan seterusnya membantu menyediakan makanan untuk semua.

TAKRIF PERTANIAN

Sebagai permulaan,   dan untuk makluman saudara,   difikirkan ada baiknya jika subjek  ’pertanian’  diketahui maksud dan takrifnya.   Dengan cara ini dapatlah kita benar-benar memahami bidang aktivitinya dan peranannya dalam kehidupan manusia sejagat.   Di bawah ini dipetik sedikit penjelasan yang didapati di dalam Wikipedia ensiklopedia bebas.

Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.

Pertanian ialah pengeluaran makanan dan barangan melalui perladangan, penternakan, dan perhutanan. Ia merupakan perkembangan utama yang membawa kepada kebangkitan tamadun, dengan penanaman dan penternakan mewujudkan lebihan makanan dan seterusnya membolehkan pembangunan masyarakat yang lebih padat dan berstrata. Kajian pertanian dikenali sebagai sains pertanian.

Pertanian merangkumi pelbagai bidang dan teknik, termasuk cara meluaskan tanah untuk bercucuk tanam dengan membina terusan air dan bentuk pengairan yang lain. Penanaman tanaman di tanah suai tani dan penternakan haiwan di kawasan ragut merupakan asas pertanian. Pada abad yang lalu, pengenalpastian dan pengkuantitian pelbagai bentuk pertanian telah menjadi perkara yang dipentingkan. Di dunia maju, julat bentuk tersebut biasanya terbentang antara pertanian mampan (misalnya, permakultur dan pertanian organik) dan pertanian intensif (misalnya, pertanian perindustrian).

Agronomi (ilmu pertanian) moden, pembiakbakaan tumbuhan, racun perosak, dan baja, serta juga peningkatan teknologi telah menambah hasil tanaman secara mendadak tetapi pada waktu yang sama, sangat menjejaskan ekologi dan kesihatan manusia. Pembiakbakaan pilihan dan amalan moden penternakan seperti penternakan babi intensif (dengan amalan yang serupa juga dipergunakan untuk ayam) juga meningkatkan keluaran daging, tetapi menimbulkan rasa bimbang tentang kekejaman haiwan dan kesan kesihatan antibiotik, hormon pertumbuhan, dan bahan kimia yang lain yang umum digunakan dalam pengeluaran daging perindustrian.

Keluaran pertanian utama secara umum boleh digolongkan kepada makanan, gentian, bahan api, bahan mentah, bahan farmaseutik, dan perangsang, serta beraneka jenis keluaran hiasan dan lepa hiasan yang eksotik. Pada 2000-an, tumbuhan telah ditanam terutamanya untuk menghasilkan:

Walaupun pada 2003, bilangan pekerja pertanian tidak sebegitu banyak, namun kerana kesedaran terhadap pentingnya pertanian, jumlahnya naik dengan pesat pada 2008. Sesungguhnya, sektor perkhidmatan melebihi pertanian sebagai sektor ekonomi yang menggaji paling banyak orang di seluruh dunia pada tahun itu.[5] Meskipun pertanian menggaji melebihi satu pertiga daripada jumlah penduduk dunia pada 2007, pengeluaran pertanian hanya menyumbangkan kurang daripada 5% keluaran dunia kasar (iaitu jumlah kesemua keluaran dalam negara kasar (KDNK).

SUATU PENGENALAN

Di ufuk timur ....

Di ufuk timur  ….  sinaran sang suria mula mencelah di sebalik awan pagi,   mengintai jiwa-jiwa kental yang memberanikan diri melangkah ke alam yang masih dingin  ….  masih diselimuti kabus memutih tebal.   Langkah demi langkah menuju ke destinasi mencari rezeki di bumi bertuah yang terbentang luas saujana mata memandang.

ILMU ASAS TANI ….  nama yang diberikan kepada lamanweb ini.   Melaluinya kita akan tinjau apakah itu  ’pertanian’.   Apa pula hubungannya dengan kehidupan kita  ….  dan masa depan kita.    Apakah kaitannya dengan kesihatan kita  ….  dan ekonomi bangsa dan negara.    Lamanweb ini akan merapatkan lagi kita kepada dunia pertanian  ….  untuk dikenali,   difahami  dan  seterusnya dihayati.    Pertanian  ….  kehidupan  ….  dan  kesejahteraan.

PENJELASAN

Pertanian pada asasnya ialah suatu usaha menghasilkan bahan-bahan makanan dengan cara bercucuk tanam,   menternak binatang,   memelihara dan menangkap ikan.    Fungsi pertanian pada peringkat awalnya dahulu adalah untuk memenuhi keperluan asas manusia  iaitu  makanan dan minuman.   Namun apabila meningkatnya tamadun manusia,   fungsinya telah bertambah kepada mengindahkan alam sekitar dan rekreasi.

Pertanian adalah satu tuntutan semula jadi manusia yang ditetapkan oleh Allah S.W.T,   yang berfungsi untuk memenuhi tuntutan jasmani dan rohani manusia.    Oleh kerana Islam adalah sebuah agama yang merangkumi aspek dunia dan akhirat,   maka pertanian adalah salah satu daripada tuntutan agama. Ia menjadi satu tuntutan Fardhu Ain bagi manusia yang hanya dengan cara bertani sahaja boleh menjamin kehidupannya. Ia menjadi satu tuntutan Fardhu Kifayah jika didapati sebahagian daripada anggota masyarakat terpaksa menjalankan tugas-tugas lain dalam menyempurnakan kehidupan mereka. Dalam konteks dunia hari ini,   pertanian lebih merupakan satu tuntutan Fardhu Kifayah oleh kerana manusia,  hasil daripada perkembangan tamadun mereka,   terpaksa menumpukan kepada pengkhususan kerja dalam berbagai bidang,   seperti terkandung di dalam Al-Quran yang mempunyai maksud:

‘Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu;   mudah digunakan,   maka berjalanlah di merata ceruk rantaunya,   serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan oleh Allah;    dan ingatlah,   kepada Allah jualah tempat kembali kamu sesudah dibangkitkan hidup semula;   maka hargailah nikmatNya  dan  takutlah kemungkaranNya.’

Melalui lamanweb ini kita akan bentangkan kisah pertanian secara meluas.    Kita akan lihat pertanian dari berbagai aspek termasuk sejarahnya,   perkembangannya,  teknologi moden yang dicipta dan digunakan,   sektor-sektor pertanian yang ditumpukan perhatian,   potensi ekonominya  dan  penting sekali hubungan dan pengaruhnya dalam kehidupan kita hari ini.      Melalui lamanweb ini  akan kita dapatkan sumbangan dari pakar,  pengamal pertanian,  ahli-ahli sains pertanian dan juga para penyelidik untuk menghuraikan subjek-subjek yang berkaitan dan berfaedah kepada,  terutama yang bergiat dalam bidang pertanian.     Tujuannya ialah supaya kita benar-benar memahaminya dan seterusnya menghayati ehwalnya supaya dapatlah sama-sama kita manfaatkan kehadirannya dalam kehidupan kita.

Tidak boleh kita nafikan,  bahawa walaupun kita sedang bergerak dengan pesatnya ke arah sebuah negara maju,    pada

Tanah yang subur menjamin pendapatan lumayan kepada petani.

asasnya negara kita ialah sebuah negera pertanian.    Di kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia umpamanya,   sama ada di Kelantan,  Terengganu  atau  pun di Pahang,   kawasan-kawasan yang dihuni oleh produk pertanian adalah luas.   Dan jumlah insan yang terlibat  dalam bidang pertanian ini pula adalah banyak.   Ke arah mana juga mata memandang akan kita lihat terbentang di hadapan kita,  kawasan-kawasan tanaman seperti  getah,  kelapa sawit,  padi,  kelapa,  tembakau dan lain-lainnya.   Tidak kurang juga dusun-dusun buah-buahan seperti durian,  rambutan,  limau,  manggis,  mangga,  pisang,  cempedak,  pisang  dan lain-lain lagi.    Begitu juga kawasan-kawasan yang ditanam dengan sayur-sayuran seperti cili,  timun,  petola,  bayam,  lobak,  labu  dan sebagainya,  banyak di dapati di sekitar laluan perjalanan kita.   Inilah yang dikurniakan oleh Allah S.W.T,   dan inilah satu anugerah yang harus kita manfaatkan sebaik-baiknya.

Kita lihat pula Dasar Pertanian Negara. Dasar ini yang telah digubal pada tahun 1984 dan telah dilaksanakan semasa pertumbuhan ekonomi keseluruhan yang pesat,   menjadi landasan kepada pembangunan pertanian negara. Lima objektif yang spesifik telah diutarakan iaitu:

  • Pencapaian pembangunan yang seimbang antara sektor pertanian dengan sektor-sektor ekonomi yang lain.
  • Peningkatan integrasi ekonomi antara sektor pertanian dengan sektor ekonomi yang lain,  seperti pembuatan.
  • Pencapaian tahap perkembangan yang lebih tinggi bagi sub-sektor seperti industri makanan dan industri berasaskan sumber pertanian.
  • Pencapaian penyertaan dan penglibatan masyarakat bumiputera yang lebih luas dan berkesan dalam pertanian moden dan komersil,  perniagaan tani dan perdagangan pertanian,   dan
  • Pembangunan pertanian yang berdaya maju.

Usaha mencapai kemajuan  dalam bidang pertanian memerlukan berbagai pendekatan seperti dari segi pengurusan,  ekonomi  dan teknologi.   Allah S.W.T telah pun memberikan banyak petunjuk bagi mencapai kemajuan dalam bidang pertanian sepertimana terkandung dalam ayat-ayat mengenainya di dalam Al-Quran. Bagaimana pun bidang pertanian di negarfa ini perlulah disesuaikan dengan perkembangan dan perubahan yang berlaku di dunia hari ini.

Penggunaan pendekatan baru dan teknologi moden perlu dititikberatkan secara menyeluruh dalam pembangunan pertanian di negara kita.

Dari Pengarang:

Post ini akan dibentangkan dalam beberapa bahagian.   Bahagian-bahagian berikutnya akan menumpukan perhatian bukan sahaja kepada takrif pertanian,  bahkan akan juga menyediakan bahan-bahan yang relevan dengan keperluan pengetahuan,  terutama masyarakat desa,  mengenai pertanian.

Bahan-bahan ini akan kita muatkan di dalam lamanweb ini,  dengan huraian yang lebih mendalam.   Inilah yang dimaksudkan ilmu tambahan untuk pembangunan dan kemajuan pertanian.

Kami berharap bahan-bahan ini boleh dimanfaatkan,  dan dapat pula membantu perjalanan masyarakat desa yang bertani,  menangkap ikan dan mengusahakan penternakan,  menuju ke kehidupan yang lebih sejahtera di masa mendatang.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.