Pertanian hari ini

Satu dari konsep pertanian yang dipercayai boleh membantu masyarakat petani di negara ini ialah konsep Pertanian Jitu.

Untuk makluman,  dipaparkan di sini penjelasan asas yang dipetik dari WIKIPEDIA ensiklopedia bebas.

“PERTANIAN JITU

Pertanian jitu, juga pertanian tepat atau pertanian persis (bahasa Inggeris: precision agriculture), merupakan konsep pertanian moden yang membolehkan petani mengawal aktiviti-aktiviti berkaitan seperti pembajaan, pengairan, makhluk perosak dan sebagainya melalui penggunaan teknologi. Dengan kata lain istilah pertanian tepat adalah melakukan dengan betul, pada tempat yang betul, dengan kaedah yang betul, dan pada masa yang betul.

Pertanian tepat termasuk kaedah pengurusan pertanian atau penternakan baru yang disepadukan dengan teknologi maklumat merangkumi beberapa faktor asas termasuk sistem maklumat geografi/tanah, pembajaan/makanan haiwan, imunisasi/racun perosak, sistem hasil dan sebagainya demi untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan, sekali gus memberikan pulangan yang lumayan.

Pertanian tepat memerlukan teknologi baru seperti GPS, alat pengesan, satelit dan sistem teknologi maklumat yang dapat membantu petani memahami dan menilai keadaan seperti:

  • masa yang baik untuk menanam benih
  • jumlah baja yang betul
  • meramal jumlah tuaian hasil tanaman secara tepat.

Penggunaan pertanian tepat di Malaysia

Di Malaysia, penggunaan teknologi untuk pertanian tepat masih baru. Walaupun masih baru, usaha untuk ke arah pertanian tepat sedang dimajukan melalui agensi kerajaan seperti Mimos Berhad melalui sensor tanpa wayar MEMS. Sensor ini boleh membantu petani mengukur kadar kelembapan, kehangatan, tahap keasidan atau kealkalian dan takat suhu tanah. Ia juga boleh juga memberitahu tahap kesuburan tanah termasuklah mengukur kadar nitrat, fosfat dan kalium di dalam tanah itu.”

TAKRIF PERTANIAN

Sebagai permulaan,   dan untuk makluman saudara,   difikirkan ada baiknya jika subjek  ‘pertanian’  diketahui maksud dan takrifnya.   Dengan cara ini dapatlah kita benar-benar memahami bidang aktivitinya dan peranannya dalam kehidupan manusia sejagat.   Di bawah ini dipetik sedikit penjelasan yang didapati di dalam Wikipedia ensiklopedia bebas.

Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.

Pertanian ialah pengeluaran makanan dan barangan melalui perladangan, penternakan, dan perhutanan. Ia merupakan perkembangan utama yang membawa kepada kebangkitan tamadun, dengan penanaman dan penternakan mewujudkan lebihan makanan dan seterusnya membolehkan pembangunan masyarakat yang lebih padat dan berstrata. Kajian pertanian dikenali sebagai sains pertanian.

Pertanian merangkumi pelbagai bidang dan teknik, termasuk cara meluaskan tanah untuk bercucuk tanam dengan membina terusan air dan bentuk pengairan yang lain. Penanaman tanaman di tanah suai tani dan penternakan haiwan di kawasan ragut merupakan asas pertanian. Pada abad yang lalu, pengenalpastian dan pengkuantitian pelbagai bentuk pertanian telah menjadi perkara yang dipentingkan. Di dunia maju, julat bentuk tersebut biasanya terbentang antara pertanian mampan (misalnya, permakultur dan pertanian organik) dan pertanian intensif (misalnya, pertanian perindustrian).

Agronomi (ilmu pertanian) moden, pembiakbakaan tumbuhan, racun perosak, dan baja, serta juga peningkatan teknologi telah menambah hasil tanaman secara mendadak tetapi pada waktu yang sama, sangat menjejaskan ekologi dan kesihatan manusia. Pembiakbakaan pilihan dan amalan moden penternakan seperti penternakan babi intensif (dengan amalan yang serupa juga dipergunakan untuk ayam) juga meningkatkan keluaran daging, tetapi menimbulkan rasa bimbang tentang kekejaman haiwan dan kesan kesihatan antibiotik, hormon pertumbuhan, dan bahan kimia yang lain yang umum digunakan dalam pengeluaran daging perindustrian.

Keluaran pertanian utama secara umum boleh digolongkan kepada makanan, gentian, bahan api, bahan mentah, bahan farmaseutik, dan perangsang, serta beraneka jenis keluaran hiasan dan lepa hiasan yang eksotik. Pada 2000-an, tumbuhan telah ditanam terutamanya untuk menghasilkan:

Walaupun pada 2003, bilangan pekerja pertanian tidak sebegitu banyak, namun kerana kesedaran terhadap pentingnya pertanian, jumlahnya naik dengan pesat pada 2008. Sesungguhnya, sektor perkhidmatan melebihi pertanian sebagai sektor ekonomi yang menggaji paling banyak orang di seluruh dunia pada tahun itu.[5] Meskipun pertanian menggaji melebihi satu pertiga daripada jumlah penduduk dunia pada 2007, pengeluaran pertanian hanya menyumbangkan kurang daripada 5% keluaran dunia kasar (iaitu jumlah kesemua keluaran dalam negara kasar (KDNK).

SUATU PENGENALAN

Di ufuk timur ....

Di ufuk timur  ….  sinaran sang suria mula mencelah di sebalik awan pagi,   mengintai jiwa-jiwa kental yang memberanikan diri melangkah ke alam yang masih dingin  ….  masih diselimuti kabus memutih tebal.   Langkah demi langkah menuju ke destinasi mencari rezeki di bumi bertuah yang terbentang luas saujana mata memandang.

ILMU ASAS TANI ….  nama yang diberikan kepada lamanweb ini.   Melaluinya kita akan tinjau apakah itu  ‘pertanian’.   Apa pula hubungannya dengan kehidupan kita  ….  dan masa depan kita.    Apakah kaitannya dengan kesihatan kita  ….  dan ekonomi bangsa dan negara.    Lamanweb ini akan merapatkan lagi kita kepada dunia pertanian  ….  untuk dikenali,   difahami  dan  seterusnya dihayati.    Pertanian  ….  kehidupan  ….  dan  kesejahteraan.

PENJELASAN

Pertanian pada asasnya ialah suatu usaha menghasilkan bahan-bahan makanan dengan cara bercucuk tanam,   menternak binatang,   memelihara dan menangkap ikan.    Fungsi pertanian pada peringkat awalnya dahulu adalah untuk memenuhi keperluan asas manusia  iaitu  makanan dan minuman.   Namun apabila meningkatnya tamadun manusia,   fungsinya telah bertambah kepada mengindahkan alam sekitar dan rekreasi.

Pertanian adalah satu tuntutan semula jadi manusia yang ditetapkan oleh Allah S.W.T,   yang berfungsi untuk memenuhi tuntutan jasmani dan rohani manusia.    Oleh kerana Islam adalah sebuah agama yang merangkumi aspek dunia dan akhirat,   maka pertanian adalah salah satu daripada tuntutan agama. Ia menjadi satu tuntutan Fardhu Ain bagi manusia yang hanya dengan cara bertani sahaja boleh menjamin kehidupannya. Ia menjadi satu tuntutan Fardhu Kifayah jika didapati sebahagian daripada anggota masyarakat terpaksa menjalankan tugas-tugas lain dalam menyempurnakan kehidupan mereka. Dalam konteks dunia hari ini,   pertanian lebih merupakan satu tuntutan Fardhu Kifayah oleh kerana manusia,  hasil daripada perkembangan tamadun mereka,   terpaksa menumpukan kepada pengkhususan kerja dalam berbagai bidang,   seperti terkandung di dalam Al-Quran yang mempunyai maksud:

‘Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu;   mudah digunakan,   maka berjalanlah di merata ceruk rantaunya,   serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan oleh Allah;    dan ingatlah,   kepada Allah jualah tempat kembali kamu sesudah dibangkitkan hidup semula;   maka hargailah nikmatNya  dan  takutlah kemungkaranNya.’

Melalui lamanweb ini kita akan bentangkan kisah pertanian secara meluas.    Kita akan lihat pertanian dari berbagai aspek termasuk sejarahnya,   perkembangannya,  teknologi moden yang dicipta dan digunakan,   sektor-sektor pertanian yang ditumpukan perhatian,   potensi ekonominya  dan  penting sekali hubungan dan pengaruhnya dalam kehidupan kita hari ini.      Melalui lamanweb ini  akan kita dapatkan sumbangan dari pakar,  pengamal pertanian,  ahli-ahli sains pertanian dan juga para penyelidik untuk menghuraikan subjek-subjek yang berkaitan dan berfaedah kepada,  terutama yang bergiat dalam bidang pertanian.     Tujuannya ialah supaya kita benar-benar memahaminya dan seterusnya menghayati ehwalnya supaya dapatlah sama-sama kita manfaatkan kehadirannya dalam kehidupan kita.

Tidak boleh kita nafikan,  bahawa walaupun kita sedang bergerak dengan pesatnya ke arah sebuah negara maju,    pada

Tanah yang subur menjamin pendapatan lumayan kepada petani.

asasnya negara kita ialah sebuah negera pertanian.    Di kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia umpamanya,   sama ada di Kelantan,  Terengganu  atau  pun di Pahang,   kawasan-kawasan yang dihuni oleh produk pertanian adalah luas.   Dan jumlah insan yang terlibat  dalam bidang pertanian ini pula adalah banyak.   Ke arah mana juga mata memandang akan kita lihat terbentang di hadapan kita,  kawasan-kawasan tanaman seperti  getah,  kelapa sawit,  padi,  kelapa,  tembakau dan lain-lainnya.   Tidak kurang juga dusun-dusun buah-buahan seperti durian,  rambutan,  limau,  manggis,  mangga,  pisang,  cempedak,  pisang  dan lain-lain lagi.    Begitu juga kawasan-kawasan yang ditanam dengan sayur-sayuran seperti cili,  timun,  petola,  bayam,  lobak,  labu  dan sebagainya,  banyak di dapati di sekitar laluan perjalanan kita.   Inilah yang dikurniakan oleh Allah S.W.T,   dan inilah satu anugerah yang harus kita manfaatkan sebaik-baiknya.

Kita lihat pula Dasar Pertanian Negara. Dasar ini yang telah digubal pada tahun 1984 dan telah dilaksanakan semasa pertumbuhan ekonomi keseluruhan yang pesat,   menjadi landasan kepada pembangunan pertanian negara. Lima objektif yang spesifik telah diutarakan iaitu:

  • Pencapaian pembangunan yang seimbang antara sektor pertanian dengan sektor-sektor ekonomi yang lain.
  • Peningkatan integrasi ekonomi antara sektor pertanian dengan sektor ekonomi yang lain,  seperti pembuatan.
  • Pencapaian tahap perkembangan yang lebih tinggi bagi sub-sektor seperti industri makanan dan industri berasaskan sumber pertanian.
  • Pencapaian penyertaan dan penglibatan masyarakat bumiputera yang lebih luas dan berkesan dalam pertanian moden dan komersil,  perniagaan tani dan perdagangan pertanian,   dan
  • Pembangunan pertanian yang berdaya maju.

Usaha mencapai kemajuan  dalam bidang pertanian memerlukan berbagai pendekatan seperti dari segi pengurusan,  ekonomi  dan teknologi.   Allah S.W.T telah pun memberikan banyak petunjuk bagi mencapai kemajuan dalam bidang pertanian sepertimana terkandung dalam ayat-ayat mengenainya di dalam Al-Quran. Bagaimana pun bidang pertanian di negarfa ini perlulah disesuaikan dengan perkembangan dan perubahan yang berlaku di dunia hari ini.

Penggunaan pendekatan baru dan teknologi moden perlu dititikberatkan secara menyeluruh dalam pembangunan pertanian di negara kita.

Dari Pengarang:

Post ini akan dibentangkan dalam beberapa bahagian.   Bahagian-bahagian berikutnya akan menumpukan perhatian bukan sahaja kepada takrif pertanian,  bahkan akan juga menyediakan bahan-bahan yang relevan dengan keperluan pengetahuan,  terutama masyarakat desa,  mengenai pertanian.

Bahan-bahan ini akan kita muatkan di dalam lamanweb ini,  dengan huraian yang lebih mendalam.   Inilah yang dimaksudkan ilmu tambahan untuk pembangunan dan kemajuan pertanian.

Kami berharap bahan-bahan ini boleh dimanfaatkan,  dan dapat pula membantu perjalanan masyarakat desa yang bertani,  menangkap ikan dan mengusahakan penternakan,  menuju ke kehidupan yang lebih sejahtera di masa mendatang.