SUATU PENGENALAN

Di ufuk timur ....

Di ufuk timur  ….  sinaran sang suria mula mencelah di sebalik awan pagi,   mengintai jiwa-jiwa kental yang memberanikan diri melangkah ke alam yang masih dingin  ….  masih diselimuti kabus memutih tebal.   Langkah demi langkah menuju ke destinasi mencari rezeki di bumi bertuah yang terbentang luas saujana mata memandang.

ILMU ASAS TANI ….  nama yang diberikan kepada lamanweb ini.   Melaluinya kita akan tinjau apakah itu  ‘pertanian’.   Apa pula hubungannya dengan kehidupan kita  ….  dan masa depan kita.    Apakah kaitannya dengan kesihatan kita  ….  dan ekonomi bangsa dan negara.    Lamanweb ini akan merapatkan lagi kita kepada dunia pertanian  ….  untuk dikenali,   difahami  dan  seterusnya dihayati.    Pertanian  ….  kehidupan  ….  dan  kesejahteraan.

PENJELASAN

Pertanian pada asasnya ialah suatu usaha menghasilkan bahan-bahan makanan dengan cara bercucuk tanam,   menternak binatang,   memelihara dan menangkap ikan.    Fungsi pertanian pada peringkat awalnya dahulu adalah untuk memenuhi keperluan asas manusia  iaitu  makanan dan minuman.   Namun apabila meningkatnya tamadun manusia,   fungsinya telah bertambah kepada mengindahkan alam sekitar dan rekreasi.

Pertanian adalah satu tuntutan semula jadi manusia yang ditetapkan oleh Allah S.W.T,   yang berfungsi untuk memenuhi tuntutan jasmani dan rohani manusia.    Oleh kerana Islam adalah sebuah agama yang merangkumi aspek dunia dan akhirat,   maka pertanian adalah salah satu daripada tuntutan agama. Ia menjadi satu tuntutan Fardhu Ain bagi manusia yang hanya dengan cara bertani sahaja boleh menjamin kehidupannya. Ia menjadi satu tuntutan Fardhu Kifayah jika didapati sebahagian daripada anggota masyarakat terpaksa menjalankan tugas-tugas lain dalam menyempurnakan kehidupan mereka. Dalam konteks dunia hari ini,   pertanian lebih merupakan satu tuntutan Fardhu Kifayah oleh kerana manusia,  hasil daripada perkembangan tamadun mereka,   terpaksa menumpukan kepada pengkhususan kerja dalam berbagai bidang,   seperti terkandung di dalam Al-Quran yang mempunyai maksud:

‘Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu;   mudah digunakan,   maka berjalanlah di merata ceruk rantaunya,   serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan oleh Allah;    dan ingatlah,   kepada Allah jualah tempat kembali kamu sesudah dibangkitkan hidup semula;   maka hargailah nikmatNya  dan  takutlah kemungkaranNya.’

Melalui lamanweb ini kita akan bentangkan kisah pertanian secara meluas.    Kita akan lihat pertanian dari berbagai aspek termasuk sejarahnya,   perkembangannya,  teknologi moden yang dicipta dan digunakan,   sektor-sektor pertanian yang ditumpukan perhatian,   potensi ekonominya  dan  penting sekali hubungan dan pengaruhnya dalam kehidupan kita hari ini.      Melalui lamanweb ini  akan kita dapatkan sumbangan dari pakar,  pengamal pertanian,  ahli-ahli sains pertanian dan juga para penyelidik untuk menghuraikan subjek-subjek yang berkaitan dan berfaedah kepada,  terutama yang bergiat dalam bidang pertanian.     Tujuannya ialah supaya kita benar-benar memahaminya dan seterusnya menghayati ehwalnya supaya dapatlah sama-sama kita manfaatkan kehadirannya dalam kehidupan kita.

Tidak boleh kita nafikan,  bahawa walaupun kita sedang bergerak dengan pesatnya ke arah sebuah negara maju,    pada

Tanah yang subur menjamin pendapatan lumayan kepada petani.

asasnya negara kita ialah sebuah negera pertanian.    Di kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia umpamanya,   sama ada di Kelantan,  Terengganu  atau  pun di Pahang,   kawasan-kawasan yang dihuni oleh produk pertanian adalah luas.   Dan jumlah insan yang terlibat  dalam bidang pertanian ini pula adalah banyak.   Ke arah mana juga mata memandang akan kita lihat terbentang di hadapan kita,  kawasan-kawasan tanaman seperti  getah,  kelapa sawit,  padi,  kelapa,  tembakau dan lain-lainnya.   Tidak kurang juga dusun-dusun buah-buahan seperti durian,  rambutan,  limau,  manggis,  mangga,  pisang,  cempedak,  pisang  dan lain-lain lagi.    Begitu juga kawasan-kawasan yang ditanam dengan sayur-sayuran seperti cili,  timun,  petola,  bayam,  lobak,  labu  dan sebagainya,  banyak di dapati di sekitar laluan perjalanan kita.   Inilah yang dikurniakan oleh Allah S.W.T,   dan inilah satu anugerah yang harus kita manfaatkan sebaik-baiknya.

Kita lihat pula Dasar Pertanian Negara. Dasar ini yang telah digubal pada tahun 1984 dan telah dilaksanakan semasa pertumbuhan ekonomi keseluruhan yang pesat,   menjadi landasan kepada pembangunan pertanian negara. Lima objektif yang spesifik telah diutarakan iaitu:

  • Pencapaian pembangunan yang seimbang antara sektor pertanian dengan sektor-sektor ekonomi yang lain.
  • Peningkatan integrasi ekonomi antara sektor pertanian dengan sektor ekonomi yang lain,  seperti pembuatan.
  • Pencapaian tahap perkembangan yang lebih tinggi bagi sub-sektor seperti industri makanan dan industri berasaskan sumber pertanian.
  • Pencapaian penyertaan dan penglibatan masyarakat bumiputera yang lebih luas dan berkesan dalam pertanian moden dan komersil,  perniagaan tani dan perdagangan pertanian,   dan
  • Pembangunan pertanian yang berdaya maju.

Usaha mencapai kemajuan  dalam bidang pertanian memerlukan berbagai pendekatan seperti dari segi pengurusan,  ekonomi  dan teknologi.   Allah S.W.T telah pun memberikan banyak petunjuk bagi mencapai kemajuan dalam bidang pertanian sepertimana terkandung dalam ayat-ayat mengenainya di dalam Al-Quran. Bagaimana pun bidang pertanian di negarfa ini perlulah disesuaikan dengan perkembangan dan perubahan yang berlaku di dunia hari ini.

Penggunaan pendekatan baru dan teknologi moden perlu dititikberatkan secara menyeluruh dalam pembangunan pertanian di negara kita.

Dari Pengarang:

Post ini akan dibentangkan dalam beberapa bahagian.   Bahagian-bahagian berikutnya akan menumpukan perhatian bukan sahaja kepada takrif pertanian,  bahkan akan juga menyediakan bahan-bahan yang relevan dengan keperluan pengetahuan,  terutama masyarakat desa,  mengenai pertanian.

Bahan-bahan ini akan kita muatkan di dalam lamanweb ini,  dengan huraian yang lebih mendalam.   Inilah yang dimaksudkan ilmu tambahan untuk pembangunan dan kemajuan pertanian.

Kami berharap bahan-bahan ini boleh dimanfaatkan,  dan dapat pula membantu perjalanan masyarakat desa yang bertani,  menangkap ikan dan mengusahakan penternakan,  menuju ke kehidupan yang lebih sejahtera di masa mendatang.

Tinggalkan komen